home photo HOME.png"/> tips photo BLOGGERdanApa-apatipslah.png kes photo KESHARIINI.png

Tuesday 13 September 2011

Sindrom Mahu Jadi Pakar

Copy dari Blog Dr. Ridhuan Tee
Pada: 12/09/2011

 Aku memang Suka sangat lawat Blog Dr. Ridhuan, yang ni antara artikel yang berjaya menarik minat aku.

 -SINDROM MAHU JADI PAKAR-

Kini semakin ramai yang mahu menjadi pakar walaupun bukan bidangnya. Semua mahu bercakap. Ini kerana masing-masing terlalu ghairah mengambil kesempatan, mabuk kuasa dan politik terdesak hari ini. Mereka berselindung atas nama Islam, pertubuhan Melayu, pertubuhan ibu bapa dan macam-macam badan lagi bagi merealisasikan cita-cita merekanya. Sekumpulan mahukan Pembelajaran Pengajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan. Sekumpulan lagi mahu komunis diberikan pengiktirafan. Jika kita kaji latar belakang mereka, langsung tidak ada kaitan dengan bidang kepakaran. Tetapi mereka mahu berlagak macam hero kampung. Inilah sindrom yang menggusarkan dunia akademik hari ini. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asal cita-cita mereka tercapai.

Sebuah pertubuhan yang kononnya mewakili ibu bapa membuat kenyataan bahawa majoriti ibu bapa menyokong PPSMI. Tertanya-tanya pula kita, siapakah ibubapa tersebut? Apakah modus operandi kajiannya? Apakah kaedah dan metodologi yang digunakan? Sejauhmanakah kesahkan dan kebolehpercayaan kajian yang digunakan? Siapakah sasaran atau respondennya? Semua ini masih menjadi tandanya, berbanding dengan kajian akademik oleh para akademia sebelum ini. Malang sekali, penemuan para academia tidak dibincangkan berbanding pertubuhan picisan ini.

Pertubuhan ini meminta untuk bertemu dengan kabinet supaya mengembalikan semula PPSMI. Mereka mendakwa mempunyai bukti dan mendapat sokongan lebih 90 peratus ibu bapa berhubung perkara ini. Satu perkara yang luar biasa. Teruja saya untuk melihat kajian mereka.

Persoalannya, bagaimana mereka boleh mendakwa mempunyai bukti dan mendapat sokongan, sedangkan rata-rata kajian yang dibuat sebelum ini, PPSMI gagal mendapat sokongan, apatah lagi untuk memajukan Bahasa Inggeris di kalangan anak-anak terutama di luar bandar bagi mendepani pendidikan Sains dan Matematik.

Seingat saya, hampir 100 NGO Melayu yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan PPSMI telah tampil secara agresif menentang. Ini tidak termasuk NGO Cina yang telah menentang sejak awal lagi. Jawatankuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu sendiri yang terdiri daripada profesor-profesor dalam bidang, dari awal lagi telah menentang beserta bukti-bukti kajian. Tanyalah Professor Abdullah Hassan, Professor Awang Sariyan, Profesor Nik Safiah Karim dan ramai lagi.

Ini belum termasuk pandangan pakar sains yang lain seperti Professor Shahril M. Zain (Pakar Sains Matematik), Profesor Tan Sri Zulkifli Razak (Pakar Perubatan), Profesor Yusof Othman (Pakar Fizik) dan ramai lagi.

Nasihat saya, jika ingin mendapatkan pendapat dan suara pakar Melayu, sepatutnya kerajaan mendengar dan merujuk kepada cendekiawan dan NGO-NGO Melayu seperti Persatuan Akademik IPTA, Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Majlis Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) dan banyak lagi. Kenapa kita begitu terpukul dengan sebuah pertubuhan kerdil yang disebut sebagai Page. Siapakah mereka? Apa kepakarannya?
Tidak payahlah menggunakan gelaran datin untuk mencari pengaruh. Hina sangat rasanya. Gelaran datin adalah tumpangan gelaran datuk yang diperolehi oleh suami. Jika benar-benar berani mari kita berdebat dengan para akademia secara akademik.

Yang memelikkan lagi kenapa pihak berkuasa perlu merasa tergugat dengan tindakan mereka? Sedangkan pakar-pakar bahasa memberikan pandangan daripada pelbagai aspek, termasuk pedagogi, linguistik dan sebagainya. Manakala mereka yang tidak ada kepakaran langsung, dan mungkin tidak mengaji setinggi manapun, sibuk bercakap, hanya kerana dia isteri bergelar datin dan mendapat sokongan bukan Melayu?

Negara kita teramat sedih kehilangan seorang pejuang bahasa, Dato’ Dr Hasan Ahmad yang kembali ke ramahtullah baru-baru ini. Ketika Allahyarham masih hidup, perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu tidak pernah luntur sehinggalah kerajaan bertindak memansuhkan PPSMI dan menggantikannya dengan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kita amat mengharapkan kementerian pelajaran akan bertegas dengan pendiriannya.

Kumpulan ini sedang diperalatkan oleh golongan yang mahukan bahasa kebangsaan ini lenyap, maka diberilah publisiti secara besar-besar dalam laman-laman web dan akhbar anti Melayu dan Islam. Tidak ada sesiapapun yang rasional menolak kepentingan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris bahasa dunia, ia perlu dipelajari. Cara mempelajarinya perlulah tepat,betul dan mengikut kaedah, bukan beremosi.

Persoalan pokok, adalah isu penguasaan bahasa. Bukan isu sains dan matematik. Jika bahasa yang lemah, yang harus diperhebatkan adalah kaedah pembelajaran dan pengajaran bahasa, bukan mengubah sistem. Inilah perkara yang kurang difahami oleh mereka. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan nak diduga.

Saya amat terusik dengan pesanan akhir Dato Dr Hassan Ahmad, kerajaan akan jatuh jika tidak mendengar suara ilmuan. Siapakah ilmuan tersebut? Ilmuan tersebut adalah mereka yang pakar dalam bidang masing-masing, jujur dengan ilmu dan bertindak berpaksikan Quran dan Sunnah serta perlembagaan negara. Bukannya mereka yang bukan sahaja tidak pakar, tetapi sekadar bergantung nasib atas nama suami bergelar datuk. Kepakarannya entah ke mana. Alahai malang sungguh.

Sama juga isu yang menganggap komunis ini sebagai pejuang. Bacalah dahulu sejarah komunis dari awal hingga akhir daripada pelbagai sumber. Jangan hanya membaca satu sumber sahaja atau sebelah pihak sahaja, kerana ada kepentingan atau mahu mengambil hati rakan dan taulan. Selepas itu, barulah boleh memberikan komen dan pandangan. Barulah terserlah kepakarannya. Berkata benar, walaupun amat pahit, kerana itulah yang terbaik, kerana kebenaran pasti akan menang, walaupun kalah buat sementara waktu.

Saya sempat membaca buku berkaitan perjuangan komunis oleh Rashid Maidin, Tunku Abdul Rahman, Hanrahan, Purcell, Thompson dan sebagainya. Saya tidak menafikan sumbangan komunis memang ada, tetapi tidaklah boleh meletakkan mereka setaraf dengan pejuang kemerdekaan. Perjuangan komunis yang kononnya dikatakan menentang penjajah British amat jauh berbeza dengan perjuangan Tok Janggut dan Dato Maharaja Lela menentang penjajah British. Pejuang-pejuang Melayu hanya mahu menghalau penjajah, berbanding dengan perjuangan komunis yang mahu menguasai Malaya melalui teori dominonya.

Adalah tidak rasional menolak kebaikan seorang, hanya kerana mungkin dia musuh kita atau tidak bersefahaman dengan kita. Dalam kes Mat Indera, beliau adalah seorang pejuang, cuma platformnya salah, kerana bersama komunis. Perlu diingat, walaupun komunis telah berjaya dihapuskan, pemikiran komunis masih lagi tidak lekang dalam sanubari segelintir rakyat di negara ini. Masih ada lagi yang menyanjung Bintang Tiga (MPAJA), Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD, dan sebagainya. Tindakan membina tugu MPAJA menunjukkan bahawa perjuangan komunis masih lagi bertapak di negara ini.

Profesor Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Tuesday 6 September 2011

Padah Jika Terlalu Berbaik Sangka

*Copy paste dari Blog Dr. Ridhuan Tee
          5/09/2011

Siapa kata orang Islam yang menerima bantuan dan pertolongan bukan Islam itu salah? terutama bantuan gereja atau orang Kristian yang sedang hangat diperdebatkan hari ini, ekoran pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas gereja Methodist Damansara Utama (DUMC). Jika itulah faktanya, bermakna sejak Nabi Muhammad SAW lahir, kemudian menjadi anak yatim piatu semasa kecil, siapakah yang membantu Baginda?

Hatta selepas dilantik menjadi Rasulpun, ketika itu, agama Islam baharu sahaja diturunkan, siapakah orang di sekeliling Nabi? Orang Islam atau bukan Islam? Jawapannya, sudah tentu orang bukan Islam. Siapakah bukan Islam itu? Ada beberapa kategori. Pertama, yang pro dan simpati dengan Islam. Kedua, golongan yang anti Islam, pura-pura baik kerana ada udang di sebalik batu. Ketiga, musuh Islam yang sebenar seperti Yahudi dan Nasrani. Dalam kes gereja DUMC dan sebahagian Kristian, kategori manakah mereka? Manakah satu kafir zimmi dan kafir harbi, fikirkanlah sendiri.

Semua sedia maklum bahawa bapa saudara dan isteri Baginda, Abi Talib dan Khadijah adalah antara paling banyak membantu Baginda. Malah, sebelum nabi diangkat menjadi Rasul. Rasulullah menerima bantuan daripada bukan Islam yang simpati dengan Islam. Sebahagian orang bukan Islam ketika itu (termasu Yahudi) tidak ada agenda tersembunyi atau ada udang di sebalik batu.

Yang paling menyedihkan Baginda SAW adalah pemergian Abi Talib, yang masih lagi tidak memeluk Islam, sedangkan pengorbanannya terhadap Islam tidak ada tolok bandingnya. Jika Nabi bertindak tidak menerima bantuan bukan Islam, apakah mungkin Islam boleh berkembang? Hanya Allah SWT yang tahu.

Begitu juga jika Rasulullah SAW dan para sahabat yang telah memeluk Islam, tidak membantu orang bukan Islam, bagaimanakah mungkin orang bukan Islam yang lainnya akan memeluk Islam? Oleh kerana agama Islam bersifat sejagat, sudah tentu bantuannya tidak mengenal darjat, warna kulit dan agama.

Perkara pokok yang perlu dibincangkan di sini bukan soal boleh atau tidak, orang Kristian membantu orang Islam atau orang Islam membantu Kristian! Tetapi perkara pokok adalah, apakah agenda tersembunyi, yang tersurat dan tersirat di sebalik bantuan tersebut? Saya memohon mereka yang mahu menjadi hero ini kepada ultra kiasu ini, supaya membaca pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh Sinar Harian akan kelicikan pihak Kristian dan luahan pengalaman saya semasa pernah menjadi Kristian.

Namun demikian, umat Islam juga patut dipersalahkan kerana ‘membenarkan’ orang Islam mencari orang Kristian untuk mendapatkan bantuan atau didekati oleh Kristian untuk dibantu. Jika orang kaya berperanan dan sedar diri, serta zakat diagihkan dengan betul, tidak ada orang Islam yang merempat di muka bumi bertuah ini. Persoalannya, kenapa umat Islam masih merempat? Kenapa kita tidak mencari mereka? Kita berseronok dengan kekayaan kita? Menghitung dan melihat angka kutipan yang besar? Kemudian, mengahwini artis sana sini. Seterusnya, pergi menunaikan umrah beratus kali untuk mengejar pahala sunat, sedangkan pahala wajib membantu mereka yang fakir miskin dan merempat, dibiarkan begitu sahaja.

Kita hanya menunggu mereka datang meminta bantuan? Kita tidak bertindak seperti contohnya Khalifah Omar atau Umar Abdul Aziz. Khalifah-khalifah ini sibuk mencari orang miskin tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang. Yang ada dalam benak fikiran mereka, orang yang memerlukan mesti dibantu.

Sama juga soal dakwah. Adakah kita tidak pergi berdakwah kepada bukan Islam atau kita menunggu mereka datang menyerah ke pejabat agama untuk memeluk Islam? Sudah tentu dakwah perlu keluar. Umat Islam perlu mendekati bukan Islam, bukannya menunggu mereka datang menyerah diri. Jika begitulah keadaannya, bagaimana Islam boleh berkembang di zaman para Nabi?

Berbeza dengan Kristian, mereka keluar berdakwah mendampingi sasaran untuk menyebarkan dakyahnya. Maka tidak hairanlah jika ramai orang Cina dan orang Asli beralih kepada agama Kristian. Missionari mereka tidak hanya datang dengan dakyah tetapi dengan bantuan wang ringgit sebagai penarik. Kadangkala, mereka tidak boleh dipersalahkan kerana memang menjadi tangungjawab dan kewajipan mereka menyebarkan dakyah agamanya. Sama seperti tanggungjawab kita.

Cuma silapnya Kristian adalah, mereka mendakyahkan agamanya kepada orang Islam yang dilindungi perlembagaan. Jika mereka berdakyah kepada bukan Kristian yang lain, mungkin tidak banyak timbul masalah. Namun, mereka amat licik. Kristian tahu jika sekadar berdakyah kepada yang bukan Kristian (bukan Melayu), impaknya tidak seberapa.

Justeru, mahu tidak mahu mereka mesti berdakyah kepada orang Melayu yakni peribumi, walaupun dilindungi perlembagaan. Sokongan Melayu amat penting untuk mendapatkan Melayu yang lain. Barulah negara ini mudah untuk dikristiankan. Terus terang, saya tidak pernah takut kepada dakyah Kristian, kerana saya kenal diri saya dan saya mampu menghadapi mereka bila-bila masa. Masalahnya, sasaran mereka bukan saya, tetapi mereka yang tidak faham Islam, jahil, terdesak dan memerlukan bantuan.

Bayangkanlah ketika seseorang memerlukan bantuan dan terdesak, tiba-tiba kita datang sebagai penyelamat, tidakkah kita rasa terhutang budi? Saya teramat sedih membaca kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang dua pemimpin agama mufti yang tidak memahami konteks dakyah Kristian dan penglibatan dalam pertubuhan atau NGO. Nasihat saya, biasakanlah diri dengan kerja-kerja NGO, saudara semua akan tahu apa perancangan Kristian sebenarnya.

Sekian lama saya berkecimpung dalam NGO terutama, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Perkim, apatah lagi pernah menganut agama Kristian bersama-sama bekas rakan-rakan Kristian yang lain, kita semua tahu apa perancangan mereka. Janganlah terlalu bersangka baik, walaupun bersangka baik memang dituntut dalam Islam, seperti pesan Sheikh Abdul Kadir al-Jailani, jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu): “Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk”.

Bagaimana kita masih boleh berbaik sangka pada mereka yang terang-terang mahu memurtadkan umat Islam, menghina dan melanggar perlembagaan? Dalam konteks pemerintahan, kita kena patuh kepada undang-undang atau undang-undang patuh kepada kita? Kristian kena patuh kepada perlembagaan atau perlembagaan kena ikut Kristian? Sama juga kes kita kena ikut pembangunan atau pembangunan kena ikut kita. Sudah tentu sebagai rakyat kita perlu berkorban untuk memberi laluan kepada pembangunan yang tidak bercanggah dengan Islam. Namun, adakah ia berjalan dengan betul dan adil?

Misalnya, jika ada Chinatown yang terjejas untuk memberi laluan kepada pembangunan seperti di Jalan Sultan, Petaling Street, heboh satu dunia. Golongan ultra kiasu tampil mempertahankannya dengan hujah ia adalah warisan zaman berzaman dan menjadi tumpuan pelancong, sedangkan melambak lagi kawasan Chinatown di negara ini. Tidak perlu dinamakan Chinatown pun, Kuala Lumpur sebenarnya sudah menjadi Chinatown. Kerajaan terpaksa tunduk kepada tekanan daripada memberi laluan kepada pembangunan. Sebagai tindakan ‘win-win’, pembinaan bawah tanah yang melibatkan kos yang lebih besar terpaksa dilakukan. Bayangkan kalau tempat itu adalah Malaytown (jika ada). Apakah tindakan win-win akan berlaku? Lihatlah nanti nasib Kampung Bharu.

Selama ini tanah rezab diambil dengan sewenang-wenangnya untuk tujuan pembangunan. Apa reaksi orang Islam? Sama juga jika satu rumah ibadat bukan Islam dirobohkan bagi tujuan pembangunan, heboh satu Malaysia. Jika diberipun, tempatnya mesti strategik dan lebih besar, berbanding dengan jika surau masjid dirobohkan, ganti belum tentu lagi. Yang pasti orang Melayu hanya berdiam diri dan tidak banyak membantah. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu.