home photo HOME.png"/> tips photo BLOGGERdanApa-apatipslah.png kes photo KESHARIINI.png

Tuesday 13 September 2011

Sindrom Mahu Jadi Pakar

Copy dari Blog Dr. Ridhuan Tee
Pada: 12/09/2011

 Aku memang Suka sangat lawat Blog Dr. Ridhuan, yang ni antara artikel yang berjaya menarik minat aku.

 -SINDROM MAHU JADI PAKAR-

Kini semakin ramai yang mahu menjadi pakar walaupun bukan bidangnya. Semua mahu bercakap. Ini kerana masing-masing terlalu ghairah mengambil kesempatan, mabuk kuasa dan politik terdesak hari ini. Mereka berselindung atas nama Islam, pertubuhan Melayu, pertubuhan ibu bapa dan macam-macam badan lagi bagi merealisasikan cita-cita merekanya. Sekumpulan mahukan Pembelajaran Pengajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan. Sekumpulan lagi mahu komunis diberikan pengiktirafan. Jika kita kaji latar belakang mereka, langsung tidak ada kaitan dengan bidang kepakaran. Tetapi mereka mahu berlagak macam hero kampung. Inilah sindrom yang menggusarkan dunia akademik hari ini. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asal cita-cita mereka tercapai.

Sebuah pertubuhan yang kononnya mewakili ibu bapa membuat kenyataan bahawa majoriti ibu bapa menyokong PPSMI. Tertanya-tanya pula kita, siapakah ibubapa tersebut? Apakah modus operandi kajiannya? Apakah kaedah dan metodologi yang digunakan? Sejauhmanakah kesahkan dan kebolehpercayaan kajian yang digunakan? Siapakah sasaran atau respondennya? Semua ini masih menjadi tandanya, berbanding dengan kajian akademik oleh para akademia sebelum ini. Malang sekali, penemuan para academia tidak dibincangkan berbanding pertubuhan picisan ini.

Pertubuhan ini meminta untuk bertemu dengan kabinet supaya mengembalikan semula PPSMI. Mereka mendakwa mempunyai bukti dan mendapat sokongan lebih 90 peratus ibu bapa berhubung perkara ini. Satu perkara yang luar biasa. Teruja saya untuk melihat kajian mereka.

Persoalannya, bagaimana mereka boleh mendakwa mempunyai bukti dan mendapat sokongan, sedangkan rata-rata kajian yang dibuat sebelum ini, PPSMI gagal mendapat sokongan, apatah lagi untuk memajukan Bahasa Inggeris di kalangan anak-anak terutama di luar bandar bagi mendepani pendidikan Sains dan Matematik.

Seingat saya, hampir 100 NGO Melayu yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan PPSMI telah tampil secara agresif menentang. Ini tidak termasuk NGO Cina yang telah menentang sejak awal lagi. Jawatankuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu sendiri yang terdiri daripada profesor-profesor dalam bidang, dari awal lagi telah menentang beserta bukti-bukti kajian. Tanyalah Professor Abdullah Hassan, Professor Awang Sariyan, Profesor Nik Safiah Karim dan ramai lagi.

Ini belum termasuk pandangan pakar sains yang lain seperti Professor Shahril M. Zain (Pakar Sains Matematik), Profesor Tan Sri Zulkifli Razak (Pakar Perubatan), Profesor Yusof Othman (Pakar Fizik) dan ramai lagi.

Nasihat saya, jika ingin mendapatkan pendapat dan suara pakar Melayu, sepatutnya kerajaan mendengar dan merujuk kepada cendekiawan dan NGO-NGO Melayu seperti Persatuan Akademik IPTA, Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Majlis Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) dan banyak lagi. Kenapa kita begitu terpukul dengan sebuah pertubuhan kerdil yang disebut sebagai Page. Siapakah mereka? Apa kepakarannya?
Tidak payahlah menggunakan gelaran datin untuk mencari pengaruh. Hina sangat rasanya. Gelaran datin adalah tumpangan gelaran datuk yang diperolehi oleh suami. Jika benar-benar berani mari kita berdebat dengan para akademia secara akademik.

Yang memelikkan lagi kenapa pihak berkuasa perlu merasa tergugat dengan tindakan mereka? Sedangkan pakar-pakar bahasa memberikan pandangan daripada pelbagai aspek, termasuk pedagogi, linguistik dan sebagainya. Manakala mereka yang tidak ada kepakaran langsung, dan mungkin tidak mengaji setinggi manapun, sibuk bercakap, hanya kerana dia isteri bergelar datin dan mendapat sokongan bukan Melayu?

Negara kita teramat sedih kehilangan seorang pejuang bahasa, Dato’ Dr Hasan Ahmad yang kembali ke ramahtullah baru-baru ini. Ketika Allahyarham masih hidup, perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu tidak pernah luntur sehinggalah kerajaan bertindak memansuhkan PPSMI dan menggantikannya dengan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kita amat mengharapkan kementerian pelajaran akan bertegas dengan pendiriannya.

Kumpulan ini sedang diperalatkan oleh golongan yang mahukan bahasa kebangsaan ini lenyap, maka diberilah publisiti secara besar-besar dalam laman-laman web dan akhbar anti Melayu dan Islam. Tidak ada sesiapapun yang rasional menolak kepentingan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris bahasa dunia, ia perlu dipelajari. Cara mempelajarinya perlulah tepat,betul dan mengikut kaedah, bukan beremosi.

Persoalan pokok, adalah isu penguasaan bahasa. Bukan isu sains dan matematik. Jika bahasa yang lemah, yang harus diperhebatkan adalah kaedah pembelajaran dan pengajaran bahasa, bukan mengubah sistem. Inilah perkara yang kurang difahami oleh mereka. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan nak diduga.

Saya amat terusik dengan pesanan akhir Dato Dr Hassan Ahmad, kerajaan akan jatuh jika tidak mendengar suara ilmuan. Siapakah ilmuan tersebut? Ilmuan tersebut adalah mereka yang pakar dalam bidang masing-masing, jujur dengan ilmu dan bertindak berpaksikan Quran dan Sunnah serta perlembagaan negara. Bukannya mereka yang bukan sahaja tidak pakar, tetapi sekadar bergantung nasib atas nama suami bergelar datuk. Kepakarannya entah ke mana. Alahai malang sungguh.

Sama juga isu yang menganggap komunis ini sebagai pejuang. Bacalah dahulu sejarah komunis dari awal hingga akhir daripada pelbagai sumber. Jangan hanya membaca satu sumber sahaja atau sebelah pihak sahaja, kerana ada kepentingan atau mahu mengambil hati rakan dan taulan. Selepas itu, barulah boleh memberikan komen dan pandangan. Barulah terserlah kepakarannya. Berkata benar, walaupun amat pahit, kerana itulah yang terbaik, kerana kebenaran pasti akan menang, walaupun kalah buat sementara waktu.

Saya sempat membaca buku berkaitan perjuangan komunis oleh Rashid Maidin, Tunku Abdul Rahman, Hanrahan, Purcell, Thompson dan sebagainya. Saya tidak menafikan sumbangan komunis memang ada, tetapi tidaklah boleh meletakkan mereka setaraf dengan pejuang kemerdekaan. Perjuangan komunis yang kononnya dikatakan menentang penjajah British amat jauh berbeza dengan perjuangan Tok Janggut dan Dato Maharaja Lela menentang penjajah British. Pejuang-pejuang Melayu hanya mahu menghalau penjajah, berbanding dengan perjuangan komunis yang mahu menguasai Malaya melalui teori dominonya.

Adalah tidak rasional menolak kebaikan seorang, hanya kerana mungkin dia musuh kita atau tidak bersefahaman dengan kita. Dalam kes Mat Indera, beliau adalah seorang pejuang, cuma platformnya salah, kerana bersama komunis. Perlu diingat, walaupun komunis telah berjaya dihapuskan, pemikiran komunis masih lagi tidak lekang dalam sanubari segelintir rakyat di negara ini. Masih ada lagi yang menyanjung Bintang Tiga (MPAJA), Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD, dan sebagainya. Tindakan membina tugu MPAJA menunjukkan bahawa perjuangan komunis masih lagi bertapak di negara ini.

Profesor Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

No comments: