*Copy paste dari Blog Dr. Ridhuan Tee
5/09/2011
Siapa kata orang Islam yang menerima bantuan dan pertolongan bukan Islam
itu salah? terutama bantuan gereja atau orang Kristian yang sedang
hangat diperdebatkan hari ini, ekoran pemeriksaan Jabatan Agama Islam
Selangor (Jais) ke atas gereja Methodist Damansara Utama (DUMC). Jika
itulah faktanya, bermakna sejak Nabi Muhammad SAW lahir, kemudian
menjadi anak yatim piatu semasa kecil, siapakah yang membantu Baginda?
Hatta selepas dilantik menjadi Rasulpun, ketika itu, agama Islam
baharu sahaja diturunkan, siapakah orang di sekeliling Nabi? Orang Islam
atau bukan Islam? Jawapannya, sudah tentu orang bukan Islam. Siapakah
bukan Islam itu? Ada beberapa kategori. Pertama, yang pro dan simpati
dengan Islam. Kedua, golongan yang anti Islam, pura-pura baik kerana
ada udang di sebalik batu. Ketiga, musuh Islam yang sebenar seperti
Yahudi dan Nasrani. Dalam kes gereja DUMC dan sebahagian Kristian,
kategori manakah mereka? Manakah satu kafir zimmi dan kafir harbi,
fikirkanlah sendiri.
Semua sedia maklum bahawa bapa saudara dan isteri Baginda, Abi Talib
dan Khadijah adalah antara paling banyak membantu Baginda. Malah,
sebelum nabi diangkat menjadi Rasul. Rasulullah menerima bantuan
daripada bukan Islam yang simpati dengan Islam. Sebahagian orang bukan
Islam ketika itu (termasu Yahudi) tidak ada agenda tersembunyi atau ada
udang di sebalik batu.
Yang paling menyedihkan Baginda SAW adalah pemergian Abi Talib, yang
masih lagi tidak memeluk Islam, sedangkan pengorbanannya terhadap Islam
tidak ada tolok bandingnya. Jika Nabi bertindak tidak menerima bantuan
bukan Islam, apakah mungkin Islam boleh berkembang? Hanya Allah SWT yang
tahu.
Begitu juga jika Rasulullah SAW dan para sahabat yang telah memeluk
Islam, tidak membantu orang bukan Islam, bagaimanakah mungkin orang
bukan Islam yang lainnya akan memeluk Islam? Oleh kerana agama Islam
bersifat sejagat, sudah tentu bantuannya tidak mengenal darjat, warna
kulit dan agama.
Perkara pokok yang perlu dibincangkan di sini bukan soal boleh atau
tidak, orang Kristian membantu orang Islam atau orang Islam membantu
Kristian! Tetapi perkara pokok adalah, apakah agenda tersembunyi, yang
tersurat dan tersirat di sebalik bantuan tersebut? Saya memohon mereka
yang mahu menjadi hero ini kepada ultra kiasu ini, supaya membaca
pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh Sinar Harian akan
kelicikan pihak Kristian dan luahan pengalaman saya semasa pernah
menjadi Kristian.
Namun demikian, umat Islam juga patut dipersalahkan kerana
‘membenarkan’ orang Islam mencari orang Kristian untuk mendapatkan
bantuan atau didekati oleh Kristian untuk dibantu. Jika orang kaya
berperanan dan sedar diri, serta zakat diagihkan dengan betul, tidak ada
orang Islam yang merempat di muka bumi bertuah ini. Persoalannya,
kenapa umat Islam masih merempat? Kenapa kita tidak mencari mereka? Kita
berseronok dengan kekayaan kita? Menghitung dan melihat angka kutipan
yang besar? Kemudian, mengahwini artis sana sini. Seterusnya, pergi
menunaikan umrah beratus kali untuk mengejar pahala sunat, sedangkan
pahala wajib membantu mereka yang fakir miskin dan merempat, dibiarkan
begitu sahaja.
Kita hanya menunggu mereka datang meminta bantuan? Kita tidak
bertindak seperti contohnya Khalifah Omar atau Umar Abdul Aziz.
Khalifah-khalifah ini sibuk mencari orang miskin tanpa mengira agama,
bangsa dan latar belakang. Yang ada dalam benak fikiran mereka, orang
yang memerlukan mesti dibantu.
Sama juga soal dakwah. Adakah kita tidak pergi berdakwah kepada
bukan Islam atau kita menunggu mereka datang menyerah ke pejabat agama
untuk memeluk Islam? Sudah tentu dakwah perlu keluar. Umat Islam perlu
mendekati bukan Islam, bukannya menunggu mereka datang menyerah diri.
Jika begitulah keadaannya, bagaimana Islam boleh berkembang di zaman
para Nabi?
Berbeza dengan Kristian, mereka keluar berdakwah mendampingi sasaran
untuk menyebarkan dakyahnya. Maka tidak hairanlah jika ramai orang Cina
dan orang Asli beralih kepada agama Kristian. Missionari mereka tidak
hanya datang dengan dakyah tetapi dengan bantuan wang ringgit sebagai
penarik. Kadangkala, mereka tidak boleh dipersalahkan kerana memang
menjadi tangungjawab dan kewajipan mereka menyebarkan dakyah agamanya.
Sama seperti tanggungjawab kita.
Cuma silapnya Kristian adalah, mereka mendakyahkan agamanya kepada
orang Islam yang dilindungi perlembagaan. Jika mereka berdakyah kepada
bukan Kristian yang lain, mungkin tidak banyak timbul masalah. Namun,
mereka amat licik. Kristian tahu jika sekadar berdakyah kepada yang
bukan Kristian (bukan Melayu), impaknya tidak seberapa.
Justeru, mahu tidak mahu mereka mesti berdakyah kepada orang Melayu
yakni peribumi, walaupun dilindungi perlembagaan. Sokongan Melayu amat
penting untuk mendapatkan Melayu yang lain. Barulah negara ini mudah
untuk dikristiankan. Terus terang, saya tidak pernah takut kepada dakyah
Kristian, kerana saya kenal diri saya dan saya mampu menghadapi mereka
bila-bila masa. Masalahnya, sasaran mereka bukan saya, tetapi mereka
yang tidak faham Islam, jahil, terdesak dan memerlukan bantuan.
Bayangkanlah ketika seseorang memerlukan bantuan dan terdesak,
tiba-tiba kita datang sebagai penyelamat, tidakkah kita rasa terhutang
budi? Saya teramat sedih membaca kenyataan demi kenyataan yang
dikeluarkan oleh seorang dua pemimpin agama mufti yang tidak memahami
konteks dakyah Kristian dan penglibatan dalam pertubuhan atau NGO.
Nasihat saya, biasakanlah diri dengan kerja-kerja NGO, saudara semua
akan tahu apa perancangan Kristian sebenarnya.
Sekian lama saya berkecimpung dalam NGO terutama, Persatuan Cina
Muslim Malaysia (Macma) dan Perkim, apatah lagi pernah menganut agama
Kristian bersama-sama bekas rakan-rakan Kristian yang lain, kita semua
tahu apa perancangan mereka. Janganlah terlalu bersangka baik, walaupun
bersangka baik memang dituntut dalam Islam, seperti pesan Sheikh Abdul
Kadir al-Jailani, jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah
(dalam hatimu): “Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di
akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh
jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk”.
Bagaimana kita masih boleh berbaik sangka pada mereka yang
terang-terang mahu memurtadkan umat Islam, menghina dan melanggar
perlembagaan? Dalam konteks pemerintahan, kita kena patuh kepada
undang-undang atau undang-undang patuh kepada kita? Kristian kena patuh
kepada perlembagaan atau perlembagaan kena ikut Kristian? Sama juga kes
kita kena ikut pembangunan atau pembangunan kena ikut kita. Sudah tentu
sebagai rakyat kita perlu berkorban untuk memberi laluan kepada
pembangunan yang tidak bercanggah dengan Islam. Namun, adakah ia
berjalan dengan betul dan adil?
Misalnya, jika ada Chinatown yang terjejas untuk memberi laluan
kepada pembangunan seperti di Jalan Sultan, Petaling Street, heboh satu
dunia. Golongan ultra kiasu tampil mempertahankannya dengan hujah ia
adalah warisan zaman berzaman dan menjadi tumpuan pelancong, sedangkan
melambak lagi kawasan Chinatown di negara ini. Tidak perlu dinamakan
Chinatown pun, Kuala Lumpur sebenarnya sudah menjadi Chinatown. Kerajaan
terpaksa tunduk kepada tekanan daripada memberi laluan kepada
pembangunan. Sebagai tindakan ‘win-win’, pembinaan bawah tanah yang
melibatkan kos yang lebih besar terpaksa dilakukan. Bayangkan kalau
tempat itu adalah Malaytown (jika ada). Apakah tindakan win-win akan
berlaku? Lihatlah nanti nasib Kampung Bharu.
Selama ini tanah rezab diambil dengan sewenang-wenangnya untuk
tujuan pembangunan. Apa reaksi orang Islam? Sama juga jika satu rumah
ibadat bukan Islam dirobohkan bagi tujuan pembangunan, heboh satu
Malaysia. Jika diberipun, tempatnya mesti strategik dan lebih besar,
berbanding dengan jika surau masjid dirobohkan, ganti belum tentu lagi.
Yang pasti orang Melayu hanya berdiam diri dan tidak banyak membantah.
Inilah nasib Melayu di bumi Melayu.
No comments:
New comments are not allowed.