Dua puluh lima
tahun yang lepas, saya telah dilahirkan oleh seorang wanita yang hebat. Bersama
adik kembar yang telah lama pergi. Kami hanya bersama beberapa tahun. Kata mak,
kami lahir di rumah sahaja. Sebab masa tu perjalanan ke hospital sangat jauh.
Sedangkan mak sudah dalam kesakitan yang amat. Mujur klinik desa berhampiran
dengan rumah. Di situ ada bidan kerajaan yang terlatih untuk membantu ibu yang
ingin melahirkan anak. Bukan Misteri
Bidan Gaya okey.. Alhamdulillah dua orang bayi yang comel dan kacak sehingga
kini lahir ke dunia (ini kenyataan). Membesar bersama walaupun yang tinggal
hanya seorang. Fahim meninggal dunia saat kami belum pandai mengejar bola
bersama-sama.
Namun, rencana
ini bukanlah ingin menceritakan tentang kami. Tapi tentang kelahiran. Sebuah
kelahiran yang menggembirakan tapi menjadi igauan ngeri pada si ibu kerana
bimbang siapa yang akan membantunya semasa dalam proses melahirkan. Situasi
dulu dan kini berbeza. Jika dulu, bidan yang terdiri dari seorang wanita
berumur, yang akan membantu proses kelahiran. Tapi kini, doktor lelaki semakin
ramai dalam bidang Obstetrics and Gynaecology (O&G), iaitu bidang
perbidanan dan sakit puan.
Ketika seorang
ibu sedang sakit ingin bersalin. Suami membawa isteri ke hospital tanpa memikir
panjang. Ketika itu si isteri sedang merintih kesakitan. Sesekali menggoncang
lengan suami. “..Abang.. cepatlah...” rintih isteri. Suami memandu dengan degup
jantung yang laju. Dilihat di tepi, air mata isteri sedang mengalir. Sampai
sahaja di sebuah hospital kerajaan, isteri di daftarkan di dalam ward ibu
bersalin. Tapi bukaan masih belum cukup untuk melahirkan. Maka tersadailah si
isteri di katil itu. Suami tidak putus-putus memberi kata-kata semangat kepada
isterinya. Setiap jam isteri diperiksa. Jam pertama sehingga jam ke lima,
bukaan belum cukup. Suami yang telah lima jam duduk di situ, keletihan. Mata
terlelap. Isteri terasa perut kejang. Sakit sangat. Terlalu lemah untuk
bersuara. Tiba-tiba sedang isteri baring dalam keadaan kaki yang terbuka,
datang seorang doktor lelaki memeriksa isteri. Dan sedar-sedar saja si suami,
dia melihat doktor lelaki itu sedang melihat sesuatu yang menjadi hak
peribadinya. Apakah perasaan anda sebagai suami ?. dan apa pula perasaan isteri
?. Perasaan terpaksa di ketepikan...
Situasi ini
memperlihat keadaan aurat isteri yang terpaksa di dedahkan. Bukan semua orang
mampu memilih hospital swasta atau hospital kegemaran yang membolehkan kita
memilih doktor yang ingin membantu isteri. Kosnya terlalu mahal jika dibandingkan
dengan hospital kerajaan. Mungkin saja kos melahirkan 5 orang anak di hospital
kerajaan sama dengan kos melahirkan seorang anak di hospital swasta. Mungkin.
Sebab saya tidak ada pengalaman lagi. Tapi di ringkaskan cerita, kos bersalin
di hospital swasta terlalu mahal untuk pasangan yang mempunyai pendapatan
sederhana atau rendah. Jadi nilainya bagi sebuah bayaran yang rendah adalah
kadang-kadang usah diharapkan perkhidmatan yang sempurna.
Seorang pesakit
perlu peka pada haknya sebagai seorang pesakit. Di hospital kerajaan sebenarnya
masih memberikan hak kepada pesakitnya atau kepada ibu untuk memilih sama ada
doktor lelaki atau doktor wanita. Ya. Masih ada hak. Namun, hak memilih kadang
kalah terbatas akibat daripada jadual bersalin yang tidak menentu atau tidak
sama seperti jangkaan atau pun pada ketika si isteri ingin bersalin, hanya
doktor lelaki yang sedang bertugas. Mana mungkin si isteri mahu tahan kepala
bayi sehingga doktor wanita sampai. Itu namanya buang tebiat. Maka terpaksalah
si isteri merelakan dirinya di bantu oleh doktor lelaki. Waktu ini adalah
dikira darurat.
Walau bagaimanapun, sebelum
meletakkan diri kita ditempat zon darurat, pertama kita patut berusaha
bersungguh-sungguh dahulu sebelum mengatakan kita darurat. Dalam tempoh 9 bulan
ini, si suami perlu memainkan peranannya mencari alternatif dan jalan
penyelesaian yang tepat untuk memastikan aurat isteri nya terjaga. Ingat,
kewajipan menjaga aurat isteri adalah terletak di bahu suami. Pemeriksaan
bulanan adalah langkah pertama yang perlu diambil berat. Suami perlu memilih
klinik yang terdiri dari perawat wanita dan perlu meluangkan masanya untuk
menemani isteri. Jika tidak, kirimkanlah seseorang yang muhrim bagi isterinya
ataupun sahabat perempuan yang solehah dan boleh dipercayai.
Perkara kedua yang perlu diambil
berat ketika proses melahirkan, adalah keadaan dimana pada ketika itu, memang tidak
ada doktor wanita yang berada di sana setelah puas berusaha. Ketika itu, suami
perlu mengutamakan nyawa isterinya berbanding maruah isterinya.
Walaubagaimanapun, suami perlu menggunakan kuasanya untuk menemani isteri dan
berusaha menutup aib isteri semampu mungkin. Suami tidak boleh
sewenang-wenangnya menyerahkan seratus peratus kerja itu dengan alasan si suami
tidak pakar soal ini. Sebaliknya suami perlu berada di sisi isteri ketika itu
bagi memastikan keperluan isteri pada masa itu terjaga. Terdapat sesetengah
hospital tidak membenarkan suami berada di bilik tertentu, maka suami perlu
menggunakan haknya pula mensyaratkan kepada pihak hospital untuk tidak
membenarkan lelaki masuk di dalam bilik yang menempatkan isterinya.
Ketiga adalah apabila si isteri mengalami masalah ketika bersalin. Seperti
terpaksa untuk di bedah dan pakar yang terbabit adalah doktor lelaki dan hanya
doktor lelaki itu yang pakar dalam membantu isterinya. Ketika itu, isteri boleh
diletakkan dalam keadaan darurat.
Seterusnya yang Keempat adalah doktor pakar sendiri telah mengesahkan
si isteri dalam keadaan kritikal dan darurat dan doktor lelaki yang membantu itu
adalah golongan alim, boleh dipercayai dan profesional dalam tugasnya.
Daripada semua keadaan tersebut,
yang menjadi tunjang utama ketika ini adalah peranan seorang suami. Pada ketika
ini si isteri dalam keadaan yang lemah dan gagal menguruskan dirinya. Pada ketika
itu juga, memakai tudung pun sudah tidak larat. Suamilah yang perlu
bertanggungjawab menutup aurat isterinya. Ketika di dalam ward, jangan
membiarkan isteri dalam keadaan tudung yang tidak terpakai, berlengan pendek
dan kain yang terselak. Di dalam al-Quran surah an-Nur ayat 31 (1) dan surah
al-Ahzab ayat 59 (2) jelas menyatakan kewajipan tentang aurat wanita. Jadi suami
perlu tidak sewenang-wenangnya mengabaikan aurat isteri hanya dengan alasan
darurat selagi suami itu masih mampu menjaga aurat isterinya. isteri telah
berjuang 9 bulan untuk seorang zuriat suami, oleh itu suami berkorbanlah 2 hari
di hospital dan 40 hari tempoh berpantang. InsyaAllah pahala untuk sebuah
perjuangan menambah umat muhammad adalah amat besar dan membahagiakan jika
dilaksanakan dengan rasa cinta dan rasa tanggungjawab
Seperti biasa,
wahai suami luaskan kuasamu, mainkan perananmu.
Rujukan Ayat
(1) Surah an-Nur ayat 31
Maksudnya: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
(2) Surah al-Ahzab ayat 59
Maksudnya : Hai Nabi, katakanlah pada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin:” Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
No comments:
Post a Comment