home photo HOME.png"/> tips photo BLOGGERdanApa-apatipslah.png kes photo KESHARIINI.png

Friday, 20 December 2013

Fitnah Ke atas Aisyah r.a

Pada zaman Rasulullah s.a.w, setiap kali baginda ingin keluar bermusafir atas urusan perniagaan, agama, peperangan, mahupun lain-lain perkara, baginda akan buat undian kepada para isterinya. Siapa yang menang, maka dialah yang akan ikut bersama Nabi. Maklum sajalah, isteri Nabi kan ramai, jadi kenalah adil. Pada ketika itu, ketika Rasulullah s.a.w ingin bermusafir, siti Aisyah telah memenangi undian, maka Aisyahlah yang akan mengikut suaminya yang tercinta itu. Sepanjang urusan Rasulullah s.a.w,  Aisyah r.a di letakkan di sebuah bilik kecil atau Haudaj yang kemudiannya diletakkan di atas unta. Selesai urusan Rasulullah s.a.w bersama para sahabat,  mereka pun pulang kembali ke Madinah.
Tetapi,
Ketika dalam perjalanan pulang ke Madinah berlaku sebuah kejadian.  Mereka telah berhenti rehat buat seketika di suatu tempat yang berhampiran dengan Madinah. Unta Aisyah di letakkan jauh dari kumpulan para sahabat yang lelaki suami senang Aisyah nak membersihkan diri. Bila hari sudah malam, mereka pun meneruskan perjalanan. Ketika para sahabat baru bersedia ingin meneruskan perjalanan, Aisyah r.a menyentuh dada nya mencari kalung,  tapi Aisyah mendapati kalungnya yang diperbuat manik Zafar hilang. Aisyah pergi semula tempat  dia membersihkan diri tadi untuk mencari kalungnya. Sementara itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan mengangkat Haudaj ke atas unta yan tunggangi oleh Aisyah r.a terus menerusnya perjalanan. Mereka fikir Aisyah sudah berada di dalam haudaj tu. Saidatina Aisyah kata “Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit makanan menyebabkan para Sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta mengangkat Haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis. Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan”.
Bila Aisyah dah jumpa kalung nya semula, dia kembali semula ke untanya tapi dia lihat semua telah pergi dan dia telah ketinggalan. Aisyah pun tunggu di situ dengan harapan kumpulan sahabat lain akan lalu di situ. Sebab ketika itu, mereka bergerak secara berkumpulan, ada kumpulan sahabat yang terakhir lagi belum pulang. Jadi Aisyah berharap, kumpulan sahabat yang lain tu melaluilah jalan itu. Maklum sajalah, mana ada jalan raya, jadi mungkin mereka lalu tempat lain. Tunggu punya tunggu, lama-lama Aisyah pun penat dan ngantuk. Lalu Aisyah ra tertidur. Kebetulan Safuan bin al-Muattal as-Sulami az-Zakwani telah ditinggal oleh pasukan tentera supaya berangkat pada awal malam. Safuan ternampak dalam kesamaran seorang manusia sedang tidur. Dia menghampirinya dan didapati yang tidur di situ adalah isteri Rasullullah.Safuan mengucap dan Aisyah terdengar terus menutup wajahnya dengan kain tudung.  Aisyah kata, “Demi Allah! Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya walaupun sepatah selain ucapannya sehinggalah dia meminta aku menunggang untanya. Tanpa membuang masa aku terima pelawaannya dan terus naik dengan berpijak ditangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta sehinggalah kami berjaya mendapatkan pasukan tentera yang sedang berhenti rehat kerana panas terik”.
Bila mereka sampai ke kelompok pasukan tentera, dalam antara ramai-ramai tentera tu, ada seorang tentera yang bersifat munafik. Dia bernama Abdullah bin Ubai bin Salul. Dialah yang menyebarkan cerita itu dan menambah cerita kononnya Aisyah r.a dan Safuan ni ada skandal. Tapi mulanya Aisyah tak tahu yang dia sedang di fitnah, dia Cuma sedar bila sampai saja di Madinah, Aisyah jatuh sakit tapi selepas sebulan sakit, dalam tempoh itu Aisyah rasa Rasulullah macam menjauhkan diri dari Aisyah. Cuma sesekali tanya kabar. Rasulullah sudah tidak layan Aisyah dengan mesra seperti selalunya jika Aisyah sakit. Aisyah kata, “Aku mula resah setelah Rasulullah s.a.w kelihatan berubah malah aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah s.a.w yang biasanya kurasakan ketika aku sakit. Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku tidak melakukan keburukan”.
Rasulullah SAW macam merajuklah dengan Aisyah. Maklum sajalah, kalau kita pun dengar isteri kita ada skandal, mahunya kita merajuk lama, silap-silap terbang periuk belanga, pelempang sepak terajang semua. Tapi Rasulullah SAW bersabar, Cuma normallah merajuk sikit-sikit. Allah menguji kesabaran Rasulullah sebab Rasulullah langsung tidak diberi wahyu atau petunjuk. Baginda buntu mahu percaya yang mana sebab ramai tentera yang nampak Aisyah menaiki unta Safuan.
Setelah Aisyah beransur sembuh, dia keluar bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Tiba-tiba Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata: Celaka Mistah!  Aisyah berkata kepadanya “Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam peperangan Badar”. Ummu menjawab, “Wahai Saidatina AisyahTidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan? Aku menjawab: Tidak, apakah yang dia katakan?” Ummu Mistah pun menceritakan kepada aisyah tuduhan pembuat cerita bohong. Mendengar cerita itu,Aisyah jatuh sakit semula. Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w masuk menjenguk Aisyah. Baginda mengucapkan salam kemudian bertanya: “Bagaimana keadaanmu?” Aisyah menjawab “Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku?”. Rasullullah mengizinkan, lalu Aisyah pulang menemui orang tuanya untuk mendengar cerita tentang fitnah terhadapnya. Sejak dari itu, Aisyah faham kenapa Rasullullah dingin terhadapnya selama sebulan. Aisyah sedih dan menangis.
Aisyah r.a tambah rasa sedih bila dengar Rasulullah berkata “Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku berita begitu dan begini tentangmu. Jika kamu seorang yang bersih dari fitnah itu maka Allah akan membersihkanmu, jika sekiranya kamu mengerjakan dosa maka mohonlah ampun dan bertaubatlah kepada Allah kerana seseorang hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada Allah nescaya Allah maha menerima taubatnya.”
Aisyah sedih bukan apa, bayangkanlah suami kita kata macam tu kat kita, macam tak percaya dengan kita je, sentaplah rasa. Ada jika-jika  lagi. Kalau  dah ada jika-jika tu, maknanya suami pun tak pasti kita betul ke tak. Sedangkan kita harapkan suami lah paling faham kita.
Tapi kalau kita lihat dari situasai Rasulullah SAW, semua orang nampak Aisyah berjalan berdua dengan Safuan, orang-orang pula tak tahu cerita macam mana Aisyah boleh ada dengan Safuan, kena pula ada si Munafik tu yang sebar bukan-bukan. Mahu nya kecoh satu negeri.  Bukti nyata tu. Itulah sebabnya kenapa Allah menyuruh kita menjauhi orang munafik. Sebab orang munafik ni depan bukan main baik. Sekali dialah yang mulut busuk. Tapi apa Nabi SAW buat ?. Baginda tidak melenting dan bersabar, terus bersabar sehingga Allah beri petunjuk. Kalau kita fahami situasi Rasulullah, kita sebagai lelaki lagi rasa tersiksa isteri kita dikata dengan bukti yang jelas. Kalau kita saja lelaki biasa ni, agaknya terus cerai. Sampai-sampai rumah bagi pelempang sekali lepas tu cerai. Agaknya lah. Kes selingkuh tu. Berat!. Tapi hebatnya Rasulullah kerana akhlak mulianya. Sabar dan lembut.
Sepanjang gosip liar itu menular, Rasulullah sedaya upaya Cuba menghapuskan atau sekurang-kurangnya mengurangkan gosip itu dengan menyibukkan para sahabat dengan perkara lain tanpa membincangkan soal itu. Tapi masih tidak ada wahyu. Setelah beberapa ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu tidak diturunkan. Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah s.a.w tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap mereka sambil berkata “Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma mengetahui apa yang baik” Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata “Allah tidak menyulitkan kamu malah wanita selain daripadanya masih ramai. Jika engkau bertanyakan pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul”. Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah (pembantu rumah) dan bertanya “Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah? “. Barirah menjawab “ Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku melihat sesuatu padanya, nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih dari seorang gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti keluarganya sehinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya”  Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Rasulullah s.a.w bersabda semasa berkhutbah “Wahai kaum muslimin! Siapakah yang ingin menolongku dari orang yang sanggup melukai hati keluargaku? Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa dia seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk berjumpa isteriku kecuali bersamaku”.  Lalu Saad bin Muaz al-Ansari bangun berkata, “Aku yang akan menolongmu daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami daripada golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu itu”.
Selepas pelbagai Usaha, Allah telah membersih nama Saiditina Aisyah r.a dengan turunnya ayat ke 11-18 daripada surah an-Nur. Yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat) (11). Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata (12). Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta (13). Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu (14). Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya (15). Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan (16). Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman (17). Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (18).

Maka nama Aisyah r.a pun bersih. Kemudian diturunkan ayat seterusnya iaitu ayat 19-26. Ucapan pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut ialah sabdanya “Bergembiralah, wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah membersihkan kamu!”.  Ibu Aisyah berkata kepada anaknya “Bangunlah berjumpa Rasulullah s.a.w”. Aisyah menjawab “Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku hanya akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat al-Quran menyatakan kebersihanku”. Semua jadi baik... Selepas daripada itu juga Allah telah memberikan rezeki kepadanya kesyahidan di jalan-Nya kepada Safwan bin Mu’attal r.a. Semua jadi lebih baik.

AN NUR: 19-26. Yang bermaksud
“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian) (19). Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta) (20). Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah!) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (21). Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (22). Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar (23). Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan (24). Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya (25).  (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia (26).

Pengajarannya:

Bersabarlah para isteri yang terfitnah sedangkan isteri Rasulullah juga tidak terlepas dengan ujian itu dan bersabarlah para suami sekiranya rumah tangga di uji sebegitu sebab Allah dah berikan Muhammad SAW kepada kita bukan sahaja sebagai contoh seorang pemimpin tapi juga sebagai  contoh suami terbaik yang boleh kita teladani.

No comments:

Post a Comment